SEJARAH INSTITUT

Sejarah latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau Sabah bermula pada 27 Disember 2004 apabila perpindahan seramai 170 orang pelajar KDPM dan PISMP dari Maktab Perguruan Sandakan Sabah. Kumpulan tersebut telah diterima secara rasmi pada 28 Disember 2004 oleh Yang Berbahagia Tan Sri Rafie Mahat, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ketika itu.
Sejarah perkembangan latihan perguruan menempa kegemilangannya pada 13 Julai 2005 sejajar dengan keputusan kerajaan menaik taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru. Bermula pada tarikh tersebut nama Maktab Perguruan Tawau bertukar kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. IPG Kampus Tawau telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Haji Mahyuddin Bin Yasin pada 2 Disember 2009.

Peredaran masa membawa perubahan dan cabaran terhadap profesion keguruan termasuk pengubahsuaian fungsi dan peranan guru. Peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan kepada pelajar telah berubah kepada peranan yang lebih holistik. Pengubahsuaian fungsi dan peranan membolehkan guru juga berperanan sebagai pemudah cara dalam pengajaran dan pembelajaran, agen perubahan dan sumber inspirasi kepada pelajar. Sejajar dengan itu guru perlu berilmu, berkemahiran tinggi, menghayati nilai dan etika yang disanjungi malah perlu lebih kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkualiti, efektif, menarik dan menyeronokkan.

Latihan perguruan yang sinonim dengan institut pendidikan guru, perlu dinamik dan sejajar dengan keperluan semasa, mempunyai hala tuju yang jelas, bergerak ke hadapan, bersifat global dan memperkasakan pengantarabangsaan latihan perguruan. kelangsungan tradisinya untuk meningkatkan kualiti latihan perguruan dan memiliki sistem latihan perguruan yang bertaraf world class, institut pendidikan guru perlu tampil dan menerajui inovasi. Pembaharuan dan perubahan dalam latihan guru dan siap siaga dalam memberi responsif kepada perubahan serta berupaya menangani perubahan dari semasa ke semasa.

Pemisahan dari BPG ke IPG Kementerian Pelajaran Malaysia telah berlaku pada bulan Jun 2010. Langkah ini dapat memantap dan menambahbaik program latihan pendidikan guru. Institut Pendidikan Guru pada hari ini dan masa hadapan perlu memiliki identiti yang berteraskan kecemerlangan, menampilkan imej intelektualisme dan profesionalisme. Hasrat ini dapat dicapai antaranya menerusi penyelidikan, penerbitan, konsultansi dan inovasi. Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau perlu memiliki dan meningkatkan budaya saing dalam peningkatan kualiti dan kecemerlangan latihannya. IPG Kampus Tawau perlu dan sentiasa memainkan peranan sebagai agen perubahan dan pembangunan pendidikan, model dan role model, show case serta membangun jaringan perkongsian pintar dan pengantarabangsaan pendidikan guru.

Perkembangan terkini dan selaras dengan keperluan semasa, IPG perlu bergerak pantas dan memenuhi tuntutan MQA agar pelajar yang dilahirkan melalui program PISMP benar-benar dapat melahirkan watak guru sekolah rendah yang terbilang.